Pages

21 April, 2012

Artis meriahkan Jom Santai Fiesta Hari Buruh

BERSEMPENA sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei ini, program berkaitan kesenian dan riadah akan diadakan serentak selama empat hari yang menyaksikan artis dan masyarakat saling bekerjsama dalam Karnival Jom Santai - Fiesta Hari Buruh di Port Dickson pada 28 April hingga 1 Mei ini.

Antara artis yang dijangka bakal menyerikan acara berkenaan ialah Ramli Sarip, Ifa Radziah, Roslan Shah, Royce Saayan, Nassier Wahab, Ika Razman, Chef Yang Jamil, Poey Stings, selain bakat baru, Fit Hamzah.
Program berkenaan menyaksikan kerjasama Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dengan kerjasama Anita Entertainment & Productions (AEP) menerusi karnival yang diadakan di Dataran Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Jurucakap penganjur, Mohd Noor Ariffin, berkata program itu adalah lanjutan Siri Jelajah Selebriti & Media yang dianjurkan menerusi penjelajahannya ke setiap pelosok pelancongan di Malaysia dengan pengisian acaranya lebih bermakna kali ini.

“Karnival Fiesta Santai Hari Buruh ini di Dataran Kemang, Port Dickson bakal dihiasi kemeriahan acara dan sambutan lebih 20,000 pengunjung. Kali ini penganjur bersama karnival menjalinkan kerjasama untuk mengeratkan hubungan masyarakat dengan anak seni, selain menjadi medan tumpuan mengukuhkan ikatan kekeluargaan.

“Pelbagai aktiviti akan diadakan pihak penganjur, MPPD dan AEP bagi mengajak orang ramai berkunjung ke pantai peranginan di Port Dickson dengan pengisian aktiviti berbentuk pelajaran, pengetahuan am, gerai jualan, persembahan hiburan artis dan kebudayaan, pertandingan aerobicton, demonstrasi sukan Muay Thai, demonstrasi visual pelancongan dan promosi Persona Resort, Taman Negara Sibu Island Resort dan Tunjuk Laut Beach Resort dari Johor.

“Di samping itu, kami turut mendapat kerjasama khas daripada penginapan rasmi, Mayang Sari Resort & Spa, Port Dickson dan Jabatan Pertahanan Awam Telok Kemang, selain diadakan gerai jualan kraftangan daripada sektor jabatan kerajaan, Jualan Jumbo, kelengkapan sekolah, Pertunjukan Autoshow, pertunjukan motor retro, pameran, Karaoke Pop Yeh-Yeh, persembahan tarian tradisional yang didatangkan khas dari Persona Resort, Taman Negara Pahang,” katanya.
Acara perasmian pembukaan Karnival Santai Fiesta Hari Buruh ini akan dirasmikan Yang Dipertua MPPD, Abdul Wahab Shamsudin pada 30 April. Acara kemuncak malam pembukaan selama empat hari karnival itu bakal diserikan artis termasuk Royce Saayan, Nassier Wahab, Ika Razman, Chef Yang Jamil, Poey Stings, selain bakat baru, Fit Hamzah.

“Penganjur juga merancang mengundang Papa Rock, Ramli Sarip untuk menghiburkan pengunjung pada sambutan Hari Buruh pada 1 Mei ini. Pengacara Khas yang bakal memeriahkan sambutan karnival ini ialah Roslan Shah dan Ifa Radziah
“Pertandingan karaoke Pop Yeh-Yeh akan memberi peluang kepada mereka yang berminat dan merebut hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM5,000 berserta trofi dan sijil. Bagi pihak penaja, peniaga mahupun artis serta penggiat industri hiburan yang berminat turut serta dalam acara di Teluk Kemang ini atau acara berikutnya dianjurkan pada 11 – 13 Mei ini di Karnival Tanjung Leman di Tunjuk Laut Beach Resort dan pantai Tanjung Leman, boleh hubungi urus setia di talian 012 – 256 1617 atau 012- 3618749 ,” kata Mohdf Noor.

 sumber:- http://www.bharian.com.my

0 komen:

Post a Comment